Cadangan Perancangan Surau 2010


Cadangan Perancangan Surau 2010
omar_yaakob@yahoo.com
Salam,
Saya mohon menjelaskan sedikit cadangan saya di dalam mesyuarat Surau yang lepas.
Perancangan mana-mana organisasi/surau/ masjid boleh mengambil dua kaedah:i. Perancangan rutin berdasarkan apa yang kita biasa buat dan biasa dibuat oleh surau/masjid lain.
Program akan dibuat berdasarkan kalender dan ukuran kejayaan surau bergantung kepada ada atau tidak program, atau bilangan program yang dilaksanakan, kecil atau besar.

ii. Perancangan berdasarkan matlamat atau sasaran. Kita tetapkan apa sasaran yang nak dicapai, dan kemudian semua aktiviti/program dirancang dan dilaksana untuk mencapai sasaran.

Ukuran kejayaan ialah melihat sejauh mana sasaran dicapai berdasarkan perancangan.

Cadangan saya ialah supaya kita membuat perancangan menggunakan kaedah kedua,
yakni berdasarkan matlamat atau sasaran , bukan berdasarkan program berkala/rutin. Ini sesuai dengan perubahan yang sedang juga berlaku di peringkat kerajaan 1Malaysia yang kini juga melakukan perancangan berdasarkan KPI dan NKRA.Kita perlu menetapkan sasaran untuk surau.

Salah satu cara untuk menetapkan sasaran ialah membayangkan keadaan surau yang kita kehendaki pada hujung 2010 atau 2011. Gambaran ini perlu memberangsangkan tetapi realistik. Ini kadangkala disebut vision/visi/ wawasan, walaupun saya rasa tak perlu kita tenggelam di dalam perbincangan istilah di sini.

Contoh gambaran yang boleh kita bayangkan mengenai surau kita pada hujung 2010 atau 2011:

  1. Surau menjadi sumber rujukan masyarakat.
  2. Surau mesra wanita dan anak-anak
  3. Penduduk datang ke surau untuk semua urusan atau masalah
  4. Anak-anak berminat datang ke surau
  5. Majlis ilmu surau meriah
  6. Surau dipandang sebagai penyelesai masalah
  7. Surau dilihat menyumbang kepada perpaduan masyarakat .. dan seumpamanya.

Daripada bayangan tersebut, kita boleh terjemahkan sasaran kerja kita. Misalnya, di antara sasaran yang kita boleh tetapkan ialah, pada Disember 2010:

  1. Jemaah Solat maghrib melebihi satu saf
  2. Wanita solat maghrib di Surau
  3. Ahli Qaryah sentiasa tahu dengan perkembangan surau
  4. Tabung surau mencapai RM20,000
  5. Surau mempunyai seorang petugas sepenuh masa
  6. Pusat sumber dan khidmat masyarakat ditubuhkan
  7. Kelab Remaja Surau ditubuhkan
  8. Kelas alQuran ditubuhkan dan mempunyaia sekurang-kurangnya 50 pelajar.
  9. Satu risalah diedarkan kepada non-muslim sekitar surau setiap bulan. ....dan seumpamanya.

.Setelah kita tetapkan sasaran, kita boleh mula merancang aktiviti bagi menyokong sasaran-sasaran tersebut yang akhirnya akan membantu pencapaian wawasan/gambaran yang kita inginkan.Mungkin kita perlu satu aktiviti/program untuk satu sasaran atau beberapa aktiviti bagi mencapai satu sasaran atau satu aktiviti boleh membantu pencapaian beberapa sasaran.Besar kemungkinan kita juga akan jalankan aktiviti rutin, tak mengapa. Tetapi ada kemungkinan kita perlu merancang untuk aktiviti yang belum pernah kita buat, demi mencapai sasaran dan wawasan kita.

Perbincangan mengenai wawasan, sasaran dan aktiviti/program mungkin mengambil masa. Jadi saya cadangkan kita buat satu program khas perancangan surau di mana kita peruntukkan satu pagi (9am - 1.00pm) salah satu hari hujung minggu untuk tujuan ini. Boleh buat di surau, atau boleh buat di luar.

Sekian, cadangan saya.

Omar